Saturday, September 20, 2008

Mengorak langkah...

MEMORANDUM KE ARAH PENUBUHAN PERSATUAN MAHASISWA ISLAM

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu’alaikum w.b.t, Salam Sejahtera, Salam perjuangan kepada semua mahasiswa mahasiswi Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan.

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran kita rafakkan bersama kepada-Nya, yang tidak putus-putus memberikan rahmat kepada kita, khususnya peluang beribadat yang terbuka luas pada bulan yang mulia ini. Selawat dan salam kepada Rasul junjungan dan tidak segan juga untuk saya menyatakan perasaan rindu kepada baginda, Rasulullah s.a.w, kekasih-Nya yang merupakan pentarbiyah terulung kurniaan Allah kepada umat akhir zaman.

Tarikh 17 Ramadhan, merupakan tarikh yang memanifestasikan penerusan tarbiyah serta dakwah Islam yang ada pada masa kini. Perang Badar Al-Kubra, yang menjadi titik penentu survival Islam, seharusnya kita hayati bersama intipatinya, bagaimana kekuatan aqidah yang dimiliki oleh tentera Badar nyata jauh lebih bermakna daripada kekuatan tentera musuh yang berlipat kali ganda jumlahnya.

Menyambung kesinambungan semangat yang membara hasil kefahaman sirah perjuangan baginda, saya merasakan sudah tiba masanya kita, mahasiswa Univeriti Sains Malaysia Kampus Kesihatan, khususnya, mahasiswa Islam, bersatu ke arah satu anjakan dalam menegakkan serta mengekalkan kemakmuran, kesejahteraan dan kekuatan ummah di kampus ini. Usaha ke arah menubuhkan Persatuan Mahasiswa Islam Univeriti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (PMIUSMKK), merupakan salah satu jawapan yang kita sama-sama cari selama ini ke arah perubahan tersebut.

Usaha penubuhan PMIUSMKK yang telah hampir setahun diwar-warkan, akan memulakan satu lembaran baru. Secara teknikalnya, penghantaran kertas kerja akan dilaksanakan secara terbuka dan terus kepada Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abd Razak, Naib Chanselor serta Prof Madya Omar Osman, Timbalan Naib Chanselor sempena lawatan mereka ke kampus ini pada 21 September nanti. Justeru, selaku wakil mahasiswa, kita berdiri teguh dalam menyatakan hasrat kita, tanpa ada sebarang rasa syak atau ragu-ragu terhadap penubuhannya. Kerangka serta rasional penubuhan persatuan ini akan diperjelaskan dengan lebih lanjut sepanjang tempoh permohonan ini oleh warga Muslim kampus yang mencerminkan semangat para ‘amilin Badar yang tidak kenal erti penat serta berputus asa.

Sesungguhnya, selaku hamba-Nya yang mengejar kemanisan iman, kita harus sedar akan kekuatan yang harus kita garap ke arah suatu bentuk dakwah Islamiah yang lebih baik dari semasa ke semasa. Kita hanyalah penerus kepada perjuangan tarbiyah yang begitu panjang. Bersamalah kita berusaha..

Wallahua’lam..

Ke arah Mahasiswa Sejahtera..
Mohammad Alif bin Yunus
Pengerusi,
Majlis Perwakilan Pelajar,
Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan 2007/2008.

1 comment:

Unknown said...

Tahniah buat YDP MMP USM KK, saudara alif.. kami di RCMP Ipoh mendoakan kejayaan PMI USM kk utk terus mara ke hadapan.