Saturday, September 20, 2008

Mengorak langkah...

MEMORANDUM KE ARAH PENUBUHAN PERSATUAN MAHASISWA ISLAM

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu’alaikum w.b.t, Salam Sejahtera, Salam perjuangan kepada semua mahasiswa mahasiswi Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan.

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran kita rafakkan bersama kepada-Nya, yang tidak putus-putus memberikan rahmat kepada kita, khususnya peluang beribadat yang terbuka luas pada bulan yang mulia ini. Selawat dan salam kepada Rasul junjungan dan tidak segan juga untuk saya menyatakan perasaan rindu kepada baginda, Rasulullah s.a.w, kekasih-Nya yang merupakan pentarbiyah terulung kurniaan Allah kepada umat akhir zaman.

Tarikh 17 Ramadhan, merupakan tarikh yang memanifestasikan penerusan tarbiyah serta dakwah Islam yang ada pada masa kini. Perang Badar Al-Kubra, yang menjadi titik penentu survival Islam, seharusnya kita hayati bersama intipatinya, bagaimana kekuatan aqidah yang dimiliki oleh tentera Badar nyata jauh lebih bermakna daripada kekuatan tentera musuh yang berlipat kali ganda jumlahnya.

Menyambung kesinambungan semangat yang membara hasil kefahaman sirah perjuangan baginda, saya merasakan sudah tiba masanya kita, mahasiswa Univeriti Sains Malaysia Kampus Kesihatan, khususnya, mahasiswa Islam, bersatu ke arah satu anjakan dalam menegakkan serta mengekalkan kemakmuran, kesejahteraan dan kekuatan ummah di kampus ini. Usaha ke arah menubuhkan Persatuan Mahasiswa Islam Univeriti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (PMIUSMKK), merupakan salah satu jawapan yang kita sama-sama cari selama ini ke arah perubahan tersebut.

Usaha penubuhan PMIUSMKK yang telah hampir setahun diwar-warkan, akan memulakan satu lembaran baru. Secara teknikalnya, penghantaran kertas kerja akan dilaksanakan secara terbuka dan terus kepada Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abd Razak, Naib Chanselor serta Prof Madya Omar Osman, Timbalan Naib Chanselor sempena lawatan mereka ke kampus ini pada 21 September nanti. Justeru, selaku wakil mahasiswa, kita berdiri teguh dalam menyatakan hasrat kita, tanpa ada sebarang rasa syak atau ragu-ragu terhadap penubuhannya. Kerangka serta rasional penubuhan persatuan ini akan diperjelaskan dengan lebih lanjut sepanjang tempoh permohonan ini oleh warga Muslim kampus yang mencerminkan semangat para ‘amilin Badar yang tidak kenal erti penat serta berputus asa.

Sesungguhnya, selaku hamba-Nya yang mengejar kemanisan iman, kita harus sedar akan kekuatan yang harus kita garap ke arah suatu bentuk dakwah Islamiah yang lebih baik dari semasa ke semasa. Kita hanyalah penerus kepada perjuangan tarbiyah yang begitu panjang. Bersamalah kita berusaha..

Wallahua’lam..

Ke arah Mahasiswa Sejahtera..
Mohammad Alif bin Yunus
Pengerusi,
Majlis Perwakilan Pelajar,
Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan 2007/2008.

Perlu ke Persatuan Mahasiswa Islam USMKK(PMIUSMKK)?

Jika difikirkan perlu ke penubuhan PMIUSMKK? Pusat Islam kan ada. Pusat Islam sebenarnya badan yang tertumpu kepada semua warga kampus. Jadi skop bidang kerja bagi Pusat Islam adalah luas. Adalah sukar bagi Pusat Islam menumpukan hanya kepada golongan mahasiswa sahaja. Oleh itu penubuhan PMIUSMKK adalah releven bagi meningkatkan lagi penumpuan kepada golongan mahasiswa. Rasional penubuhan PMIUSMKK ialah:

- Mahasiswa islam USMKK memerlukan satu persatuan yang mampu memayungi kehidupan mereka di kampus dan menjadi pemusatan segala hal yang berkaitan dengan pelajar islam di kampus USMKK.

-Keadilan dan kebebasan berpersatuan. Mahasiswa Islam juga berhak untuk mempunyai persatuan sendiri memandangkan agama lain seperti buddha, kristian, dan hindu sudah mempunyai persatuan mereka masing - masing.

Kesinambungan daripada PMI induk. Kesatuan pelajar Islam seluruh USM.

Objektif Penubuhan PMIUSMKK:

- Menyatukan seluruh mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (USMKK) berasaskan ikatan persaudaraan Islam.

- Memelihara kebajikan mahasiswa Islam dari semua aspek merangkumi akademik dan bukan akademik.

- Menjadi pusat pentarbiyahan kepada mahasiswa dalam memupuk kefahaman dan kesedaran masyarakat kampus ke arah pengamalan dan penghayatan cara hidup Islam yang sebenar.

- Melatih mahasiswa dalam aspek kepimpinan yang matang dan pengurusan yang berkesan, sesuai dengan perkembangan tuntutan semasa masyarakat dan Negara.

- Sebagai wadah kepada Mahasiswa Islam USMKK menjalankan aktiviti secara langsung, lebih terancang, teratur dan berkesan serta menepati syariah Islam itu sendiri.

Persatuan Mahasiswa Islam USMKK: Satu Realiti atau Fantasi

Aku hairan........

Dulu masa zaman persekolahan, terlibat dengan Persatuan-persatuan Islam contohnya masa sekolah rendah ada Persatuan Pendidikan Islam. Melangkah ke sekolah menengah, pun masih setia dengan Persatuan Pelajar Islam. Usia semakin bertambah (makin hampir dengan mati), melangkah ke alam matrikulasi, alhamdulillah Persatuan Islam bergerak aktif di bawah Jawatankuasa Masjid. Selepas ke alam matrikulasi, aku diterima masuk ke Universiti Sains Malaysia di Kelantan. Rasa bersyukur sangat dapat ke Kelantan. Tapi................

Aku hairan, datang dengan seribu harapan untuk berbakti kepada Islam dengan mengikuti Persatuan Islam. Tapi malangnya, kenapa Persatuan Islam tidak wujud di Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan??? Persatuan Buddhist, Persatuan Kristrien, dan Persatuan Kebudayaan India ada pulak?? Ai..sekolah rendah, sekolah menengah, dan matrikulasi ade Persatuan Islam. Kenapa Universiti tak de.Hmm..tak kan semangat Islam dah semakin luntur...

Aku hairan.......